KUALA LUMPUR 1 Sept - Tindakan aktivis politik Hishamuddin Rais mengibar bendera Sang Saka Malaya pada malam ambang kemerdekaan merupakan tindakan biadap dan mencermarkan kesucian kemerdekaan.
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah berkata, tindakan Hishamuddin Rais itu juga disifatkan sebagai sebagai menghina kedaulatan negara dan ianya tidak seharsnya dibiarkan.
“Saya rasa ini adalah provokasi yang cuba dilakukan Hishamuddin Rais. Ia juga satu cubaan untuk menimbulkan ketegangan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Azwanddin berkata demikian bagi mengulas himpunan yang dianjurkan oleh penyokong pembangkang pada malam 30 Ogos di Dataran Merdeka bagi menyatakan bendera Jalur Gemilang bukanlah bendera kebangsaan tetapi bendera Sang Saka Malaya.
Turut hadir pada perhimpunan tersebut, penyair, A Samad Said; Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Safwan Anang dan aktivis politik pembangkang Adam Adli.
Jelas Azwanddin, tindakan biadap yang dilakukan kumpulan ini tidak lebih untuk merosakkan nilai murni kemerdekaan yang dikecapi slama ini selain meracuni pemikiran rakyat terutamanya golongan belia.
“Terutama sekali untuk mempengaruhi anak muda tentang kebencian terhadap semangat kemerdekaan, bendera Malaysia dan kerajaan Malaysia sedia ada.
“Tujuan (kibar bendera Sang Saka) untuk menanam semangat kebencian ini sudah lama kita tahu. Jadi, ia seolah-olah cuba mencabar Perlembagaan negara kita. Bagi saya, ini sikap yang cukup biadab,” katanya.
Beliau kemudiannya menyeru agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada semua yang terlibat.
“Sepatutnya kita berlaku lebih tegas. Pihak-pihak tertentu perlu mengambil kejadian ini sebagai perkara serius kerana ia tak boleh dibiarkan terus berlaku.
“Jika perkara ini masih berterusan, pihak berkuasa wajib mengambil tindakan segera terhadap mereka. Terutama ambil tindakan undang-undang ke atas mereka,” ujarnya lagi.
0 comments:
Post a Comment