Taib Mahmud : Lebih Banyak Pusat Latihan Vokasional Realisasi SCORE

alt

KUCHING 20 Okt - Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud hari ini merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-50 Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak (PBB).

Dalam ucapan perasmian, Presiden PBB itu melahirkan rasa syukur dengan apa yang telah dicapai oleh Sarawak sehingga ke hari ini melalui peranan yang dimainkan oleh parti PBB.

Beliau mengimbas sejarah penyertaan Sarawak dalam gagasan Malaysia apabila berjumpa dengan Tunku Abdul Rahman dalam satu persidangan di Singapura pada tahun 1961. Saat itu menjadi titik tolak beliau untuk aktif dalam bidang politik demi pembangunan rakyat Sarawak.

Penyertaan Sarawak dalam gagasan Malaysia menjadikan negeri itu merdeka dan berpeluang untuk seiring bersama-sama Semenanjung Tanah Melayu mengecapi pembangunan. Beliau meminta supaya perwakilan juga tidak melupakan jasa pemimpin-pemimpin PBB terdahulu dalam usaha yang dilakukan mereka untuk menyatupadukan dan membangunkan Sarawak.

Perjuangan PBB adalah didorong dengan aspirasi rakyat biasa di Sarawak. Beliau melahirkan rasa bangga kerana PBB berjaya menyatukan masyarakat bumiputera pelbagai kaum dalam satu parti politik, malah diberikan kepercayaan oleh rakyat Sarawak untuk terus membangunkan negeri ini sejak penyertaan dalam gagasan Malaysia.

Menurut Pehin Sri, di awal penubuhan PBB, pembangunan luar bandar menjadi fokus utama parti itu supaya kebanyakkan rakyat yang berada di luar bandar mendapat faedah. Selepas 50 tahun terdapat banyak perubahan di kawasan pedalaman Sarawak, malah peningkatan infrastruktur terutama dari segi kemudahan asas.

Pembangunan di luar bandar merupakan indikator kejayaan PBB sepanjang mejadi tonggak parti yang memerintah negeri Sarawak. Sebagai pemimpin tertinggi dalam PBB, Pehin Sri percaya kejayaan PBB dalam mentadbir negeri ini adalah kerana asas perjuangan yang jujur bagi membantu rakyat.

Jesteru, PBB tidak takut untuk melaksanakan sesuatu yang baru walaupun ia merupakan keputusan yang tidak popular. Misalnya dengan skim "native estate" yang diperkenalkan 15 tahun dahulu. Pemimpin-pemimpin PBB percaya "land reform" yang diperkenalkan melalui skim "native estate" menguntungkan penduduk luar bandar.

Dengan itu, pemimpin PBB bertungkus lumus menyakinkan masyarakat pedalaman Sarawak mengenai skim 'native estate" yang diperkenalkan adalah bagi memberi nilai tambah pada hartanah yang dimiliki sekaligus merupakan pelaburan yang menguntungkan pada pemilik. Sehingga kini, terdapat hingga 1 juta hektar tanah luar bandar yang menyertai skim "native estate" ini.

Pehin Sri turut menyentuh mengenai kepentingan pendidikan vokasional bagi merealisasikan (Sarawak Corridor of Renewable Energy) SCORE menjelang tahun 2030. Kerajaan pusat diminta untuk menyediakan lebih banyak pusat-pusat latihan vokasional di Sarawak untuk melatih lebih ramai golongan muda dalam bidang kemahiran. Harapan beliau ialah institusi-institusi vokasional ini mampu melahirkan sehingga 20,000 tenaga kerja mahir dalam tempoh setahun.

Wakil-wakil rakyat dan pemimpin setempat juga diminta memainkan peranan dengan mempromosikan kepentingan latihan kemahiran ini kepada generasi muda di kawasan masing-masing. Dengan adanya tenaga kerja mahir yang mencukupi terutama di kalangan rakyat tempatan Sarawak, SCORE mampu mencapai matlamatnya di samping meningkatkan pendapatan per kapita Sarawak.

Unknown

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipisicing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua. Ut enim ad minim veniam, quis nostrud exercitation.

0 comments:

Post a Comment

 

Copyright @ 2013 antenapolitik.