Bernas: Jangan perjudi sekuriti makanan negara

KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) mengingatkan kerajaan agar jangan membenarkan pihak berkepentingan keuntungan semata-mata untuk memperjudikan sekuriti makanan utama negara.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, penswastaan LPN kepada Bernas sejak 1994 telah meletakkan bekalan, import dan pengedaran beras kepada monopoli sebuah syarikat konglomerat yang meletakkan beras sebagai komoditi perniagaan dalam pasaran saham.

“Kini Bernas dicadangkan dinyahsenarai dan kami melihat ini bakal menjejaskan bukan sahaja kebajikan seluruh industri pengeluaran padi  negara iaitu petani, pengilang dan pengedar bumiputera, malah sekuriti makanan utama negara itu turut diperjudikan di tangan syarikat yang hanya mengutamakan keuntungan,” katanya.

Beliau berkata, Bernas sebagai sebuah syarikat tidak harus dibiarkan bertindak di luar kawalan kerajaan untuk memastikan sektor bekalan makanan utama sentiasa memenuhi keperluan negara dan bukan menjadi industri yang ditentukan oleh kehendak syarikat semata-mata.

Menurutnya, dengan menyahsenaraikan Bernas, ekuiti syarikat tersebut hanya berada dalam milik syarikat secara mutlak dan menyisihkan golongan terpenting dalam sektor tersebut iaitu petani.

Tambahnya, membiarkan makananan utama negara di tangan syarikat yang memonopoli semua rantai pengeluaran dan pembekalan beras bakal mendedahkan sektor tersebut kepada manipulasi pasaran yang merbahaya kepada sekuriti makanan negara.

Pada tahun 2009, ujarnya rakyat pernah dikejutkan apabila saham Bernas dibeli oleh syarikat asing berpusat di Hong Kong apabila ia menguasai 31% dari saham syarikat tersebut.

“Teras kesal sejak pengswastaan sektor padi, isu petani yang berkaitan sektor ini, banyak yang tidak terbela termasuk soal penentuan harga, pemotongan padi basah, nasib pengilang padi bumiputera, isu kos input pertanian yang semakin meningkat dan kekurangan infrastruktur kawasan pengairan yang banyak tidak dikelola dengan baik,” katanya.

Kini, ujar beliau sektor pengeluaran dan bekalan beras dibenarkan dimonopoli oleh seorang individu yang boleh menentukan harga berdasarkan pertimbangan keuntungan yang hendak diraih.

Menurutnya lagi, jika ekuiti Bernas dibenarkan dibolot semuanya oleh syarikat berkepentingan dari seorang individu melalui proksi pelbagai syarikat, sekuriti makanan negara akan terdedah kepada perhitungan dan manipulasi di tangan hanya seorang individu.

Justeru, tegasnya dalam satu kenyatan, Teras membantah sebarang tindakan untuk membenarkan Bernas diserah sepenuhnya kepada monopoli seorang atau syarikat.

“Kami berpandangan Bernas perlu kembali diletakkan kepada tujuan asal ia diwujudkan dan pihak kerajaan tidak boleh berlepas tangan untuk membenarkan sektor pembekalan beras dimonopoli berdasarkan pasaran semata-mata,” katanya.

Teras juga, tegas beliau lagi menuntut supaya sektor ini tidak boleh diperjudikan melalui kepentingan hubungan politik kerana bekalan makanan negara adalah soal keselamatan nasional bukan hanya soal industri perniagaan semata-mata.

Beliau menambah, melepaskan urusan bekalan beras negara dan import beras kepada monopoli sebuah syarikat dengan melupuskan ekuiti awam adalah suatu tindakan memperjudikan sekuriti makanan kepada manipulasi syarikat untuk meraih keuntungan lumayan.

Katanya, kerajaan tidak boleh membiarkan mandat yang diberi kepada Bernas untuk  menjaga kepentingan petani dan pengilang bumiputera diperjudikan.

Menurut beliau, perhitungan untuk membolot keuntungan oleh satu syarikat sahaja sehingga 2021 adalah suatu pengkhianatan kepada mandat yang diberi oleh kerajaan dan pihak kerajaan akan turut bertanggungjawab jika sektor industri padi negara terlepas kepada kuasa asing.


sumbar : http://wargamarhaen.blogspot.com/2013/11/bernas-jangan-perjudi-sekuriti-makanan.html

Unknown

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipisicing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua. Ut enim ad minim veniam, quis nostrud exercitation.

0 comments:

Post a Comment

 

Copyright @ 2013 antenapolitik.