KUALA LUMPUR 6 Nov - Pas hari ini memberi amaran serta mengingatkan Pengerusi DAP, Karpal Singh agar tidak mengeluarkan kenyataan tanpa fakta yang sebenar.
Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Karpal seharusnya mengeluarkan kenyataan berdasarkan fakta dan bukannya mengikut kata hati.
“Pas membantah kenyataan yang dikeluarkan oleh Yang Berhormat Karpal Singh yang meminta parti yang berasaskan kaum dan agama tidak boleh dibenarkan, dan menganggap ia serius dan membahayakan.
“Kenyataan begini tidak sepatutnya keluar dari mulut pemimpin PR dalam suasana rakyat menolak BN dan mulai yakin dengan kepimpinan PR,” katanya dalam satu kenyataannya hari ini.
Semalam,Karpal mencadangkan parti politik atau persatuan yang berasaskan kaum dan agama dibatalkan pendaftaran atau diubah suai agar boleh disertai oleh semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Karpal berkata cara tersebut merupakan jawapan kepada konsep perpaduan yang menjadi amalan selama ini.
Tuan Ibrahim yang kesal dengan kenyataan Karpal itu turut menyifatkan ia sebagai tidak berasas dan seterusnya menunjukkan Karpal gagal memahami perjuangan Pas.
“Apakah bahaya perjuangan Pas bagi masyarakat majmuk di Malaysia?
“Nilailah sendiri pada Pas yang memerintah Kelantan lebih 23 tahun, Terengganu pada tahun 1999 dan Kedah pada 2008 daripada segi perpaduan kaum dan menjaga hak Muslim dan bukan Muslim.
“Apakah ada golongan bukan Islam yang disisihkan? Karpal sepatutnya mengemukakan fakta bukan mengeluarkan kata-kata ikut sedap hati,” katanya.
Tuan Ibrahim turut berkata, tindakan Karpal itu boleh menjejaskan hubungan baik dalam Pakatan Rakyat (PR) serta sokongan rakyat.
“Beliau sepatutnya lebih bijak sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan baik dalam PR serta sokongan rakyat selama ini.
“Kenyataan sebegini juga merugikan DAP secara amnya. Pas menyerahkan kepada kepimpinan DAP untuk mengambil tindakan berhubung kenyataan tersebut,” tambah kenyataan itu lagi.
0 comments:
Post a Comment