Keputusan Mahkamah Agung lebih 20 tahun lalu menyebabkan parti politik sukar memaksa wakil rakyat mereka mengosongkan kerusi jika memilih untuk meninggalkan parti.
Peguam berkata, pada ketika ini, sebarang langkah untuk parti politik memaksa wakil rakyat mereka mengosongkan kerusi adalah tindakan tidak mengikut Perlembagaan walaupun terdapat perjanjian antara parti politik dan wakil rakyat itu sebelum ini.
Cara untuk keluar daripada masalah itu adalah menyemak semula keputusan Mahkamah Agung pada ketika itu dan meyakinkan Mahkamah Persekutuan pada ketika ini bahawa keputusan tersebut tidak baik untuk kepentingan orang awam.
“Amat menyedihkan, parti itu dan pengundi terpaksa menerima realiti ini kerana kesalahan membuat pilihan,” katanya.
Katanya, salah satu cara lagi adalah dengan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menghukum seseorang yang melompat parti dengan mengosongkan kerusi itu secara automatik dan mengadakan pilihan raya kecil.
Peguam dan Ahli Parlimen DAP, Karpal Singh, berkata dalam isu ini, Parlimen perlu meminda Perlembagaan terlebih dahulu sebelum Dewan Undangan Negeri boleh mengadakan undang-undang anti lompat parti.
“Mahkamah mesti diyakinkan keputusan sebelum ini tidak baik dan bercanggah dengan prinsip demokrasi,” katanya.
Karpal bagaimanapun pasif dua cara ini dapat dilakukan melalui mahkamah atau Parlimen dalam iklim politik hari ini.
Seorang lagi peguam berkata, sistem pilihan raya di Malaysia memerlukan pengundi memilih individu dan bukannya parti politik untuk ke Dewan Rakyat datau Dewan Undangan Negeri (DUN).
Oleh itu, perjanjian di antara parti politik dan wakil rakyat akan diisytiharkan tidak sah.
Ini merupakan respon kepada kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail minggu lalu yang meminta dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu di Sabah untuk mengosongkan kerusi mereka selepas keluar parti.
Katanya, PKR mungkin akan mengeluarkan perjanjian yang ditandatangani wakil rakyat mereka di Sabah, yang memerlukan mereka mengosongkan kerusi DUN atau Parlimen jika meninggalkan parti.
Naib Pengerusi PKR Sabah dan Adun Matunggong, Datuk Jelani Hamdan keluar parti kerana beliau sudah tidak boleh lagi bekerjasama dengan pimpinan parti.
Adun Kadamaian, Jeremy Malajad sebelum itu mengumumkan keluar PKR untuk menjadi Adun bebas mesra Barisan Nasional (BN).
Isu wakil rakyat lompat parti sudah dijelaskan dalam keputusan Mahkamah Agung dalam kes DUN Kelantan lawan Nordin Salleh.
Pada April 1991, DUN Kelantan yang diketuai kerajaan negeri PAS mengadakan undang-undang anti lompat parti untuk menghalang Adun daripada Semangat 46 untuk melompat menyertai BN.
Dua Adun itu kemudian melompat menyertai BN dan Speaker DUN mengumumkan kekosongan dua kerusi dan pilihan raya kecil dijalankan. Dua Adun yang tidak berpuas hati itu kemudian membawa kes ke mahkamah.
Pada 1992, Mahkamah Agung memutuskan undang-undang yang memaksa wakil rakyat tukar parti mengosongkan kerusi bertentangan dengan kebebasan berpersatuan yang termaktub dalam artikel 10, Perlembagaan Persekutuan.
Peguam, K Shanmuga yang juga pengasas Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights, berkata pilihan raya di Malaysia adalah untuk memilih individu dan bukannya parti.
“Ramai mungkin mengundi sesetengah calon kerana faktor individu berbanding parti yang mereka wakili,” katanya.
Disebabkan itu, perjanjian untuk memaksa calon mengosongkan kerusi jika dia meninggalkan parti akan bertentangan dengan ini terutamanya jika digunakan dengan niat tidak baik.
“Sebarang perjanjian ditandatangani di antara individu dan parti hanya mampu berfungsi sebagai tanggungjawab moral. Saya tidak fikir ia boleh digunakan di mahkamah,” katanya.
Peguam dan Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin, berkata keputusan pilihan raya pada 2008 dan 2013 membuktikan pengundi memilih parti berbanding calon.
Katanya, calon seperti Datuk Ibrahim Ali dan Datuk Zulkifli Noordin tidak kembali menang walaupun bertanding di bawah tiket BN pada 2013.
“Populariti parti atau gabungan parti yang menentukan sama ada calon menang, bukan populariti peribadinya,” katanya.
Hanipa berkata, berdasarkan keputusan pilihan raya 2008 dan 2013, keputusan Mahkamah Agung berdekad dahulu bertentangan dengan prinsip demokrasi kerana pengundi kini sudah bersedia untuk sistem dua parti dan sudah tiba masanya menyemak semula keputusan Mahkamah Agung pada 1992.
“Sudah tiba masanya mahkamah mengiktiraf calon yang bertanding di bawah tiket parti perlu kekal atau perlu mengosongkan kerusi jika melompat parti walaupun untuk menjadi calon bebas,” katanya.
0 comments:
Post a Comment