Penganalisis Politik: Mat Sabu Perlu Menang Demi Hubungan Politik PR

                         

[SH] SHAH ALAM - Penganalisis politik berpendapat Mohamad Sabu perlu menang dalam Muktamar Pas ke-59, 22 hingga 25 November ini bagi menguatkan hubungan parti itu dengan PR.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata peluang penyandang Timbalan Presiden Pas, Mohamad adalah "aset" yang berguna untuk hubungan politik antara parti perikatan pembangkang yang lain.

Menurutnya, perwatakan dan sikap Mohamad yang disenangi semua pihak terutama rakan PR akan turut menyumbang kepada kemenangannya dalam pemilihan muktamar kali ini.

"Orang PR suka dia, dia juga pemimpin popular yang boleh dianggap profesional.

"Dia juga yang banyak bersama PR dalam aktiviti anjuran PR, dalam soal hudud, dia disenangi pemimpin PR lain terutama DAP akan mengeratkan lagi hubungan politik PR dan Pas," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan dua daripada lima calon Timbalan Presiden Pas, Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub telah menarik diri dan memutuskan akan bertanding untuk jawatan naib presiden.

Hari ini, seorang lagi calon Timbalan Presiden, Datuk Husam Musa turut membuat keputusan untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden Pas.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah masih belum mengumumkan keputusan muktamad untuk penawaran jawatan tersebut.

Dalam pada itu, Azizuddin berkata, jika Husam tidak menarik diri dan wujud pertandingan tiga penjuru antara Mohamad dengan Husam dan Nik Mohd Amar untuk jawatan timbalan presiden, peluang masih cerah bagi penyandangnya.

Katanya, Mohamad juga calon popular dan mempunyai penyokong tersendiri.

"Mat Sabu ini popular juga dia sama seperti Husam.

"Namun Husam ini mungkin disebabkan krisisnya di Kelantan penyokong akan 'split' undi, dan mampu juga bagi saingan sengit. 

"Kalau Nik Mohd Amar ini pendekatan politiknya agak sederhana dan agak kabur, dan hanya mungkin mendapat undi daripada ulama sahaja, jadi peluang Mat Sabu masih cerah walaupun ada sedikit berlaku pecah undi," katanya lagi. -8/11/13


P/s: Berdasarkan pencalonan rasmi, siapakah yang lebih layak memegang jawatan Timbalan Presiden PAS bagi sesi 2013-2015? Banyak yang berpendapat bahawa Mat Sabu wajar dipilih semula untuk memegang jawatan itu berdasarkan komitmennya kepada parti, sikap proaktifnya dalam pelbagai isu nasional, kemesraannya dengan pimpinan PR, popularitinya dalam kalangan masayarakat Malaysia, malah beliau kurang dibebani tugas rasmi berbanding dengan pencabarnya yang merupakan Timbalan MB dan TPJ.

Namun, keputusan muktamad akan dibuat oleh ahli Pas sendiri bukannya orang luar. Mereka harus bijak menilai dan memilih demi masa depan parti dan hala tuju PAS dan PR pada masa akan datang.


Berkaitan:

Ahli PAS Rugi Terpaksa Memilih Calon Kurang Popular untuk Timbalan Presiden

[TMI] Pihak paling rugi apabila berlaku pertembungan antara Mohamad Sabu dengan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah untuk jawatan timbalan presiden PAS adalah ahli PAS keseluruhannya.

Ini kerana, pilihan utama mereka Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Husam Musa tidak menyertai pertandingan itu. Mereka hanya dapat memilih di kalangan kurang popular sahaja padahal mereka perlu menentukan orang nombor dua dalam parti Islam itu.

Tuan Ibrahim dan Husam semalam, menjelang tarikh tutup pengesahan pertandingan parti pada jam 5 petang 8 November, mengumumkan mereka hanya akan bertanding jawatan naib presiden dan menolak untuk bertanding timbalan presiden.

Semasa pencalonan diterima, Tuan Ibrahim dilaporkan mendapat pencalonan terbanyak iaitu lebih 50% daripada 103 pencalonan yang sah daripada kawasan di seluruh negara.

Husam pula dikatakan mendapat pencalonan kedua terbanyak. Namun sehingga kini ia tidak didedahkan kepada umum. Pihak jawatankuasa pemilihan PAS yang diketuai Asmuni Awi hanya memaklumkan jumlah pencalonan yang diterima kepada calon berkenaan sahaja.


Poll yang dibuat oleh Tranungkite pada 30 Oktober lalu.Dalam poll yang dibuat sebuah laman pro PAS, Tranungkite.net, Tuan Ibrahim menjadi calon paling popular di kalangan ahli PAS manakala Husam ditempat kedua. Keputusan ini selari dengan peratusan pencalonan yang mereka terima.

Menurut poll itu, Mohamad berada di tempat ketiga manakala Nik Amar tempat keempat selepas seorang lagi calon Salahudin Ayub yang sejak awal mengumumkan hanya bertanding bagi jawatan naib presiden sahaja.

Tuan Ibrahim ketika mengumumkan hanya menerima pencalonan untuk naib presiden berkata, berasa tidak mampu untuk memikul jawatan yang lebih tinggi daripada itu.

Husam pula dalam kenyataannya berkata, pencalonan paling banyak yang beliau terima adalah untuk jawatan naib presiden.

"Saya anggap ia adalah isi hati, pedoman dan pilihan akar umbi PAS jawatan mana yang mereka ingin saya tempatkan diri saya," kata Husam dalam kenyataannya.

Dengan penolakan kedua-duanya, pemilihan yang sukar bagi perwakilan PAS dalam Muktamar PAS ke-59 pada 22 hingga 24 November ini adalah untuk jawatan naib presiden.

Bagi kerusi naib presiden, calon-calon kini adalah Salahudin Ayub, Datuk Abu Bakar Chik, Tuan Ibrahim dan Husam manakala Datuk Mahfuz Omar belum membuat sebarang pengumuman.

"Saya telah memberitahu wartawan sebelum ini, saya mahu Pengerusi Jawatankuasa Pemilih yang memaklumkan keputusan saya," kata Mahfuz kepada The Malaysian Insider.

Semalam, Idris Ahmad dan Datuk Mujahid Yusof mengumumkan akan bertanding jawatan AJK PAS Pusat sahaja manakala seorang lagi calon yang layak, Nasrudin Hassan mengumumkannya sejak awal lagi akan bertanding AJK PAS Pusat sahaja.

Perwakilan sekarang terpaksa membuat pilihan antara empat calon utama iaitu tiga penyandang Salahudin Ayub, Husam dan Mahfuz serta dengan kedatangan calon popular, Tuan Ibrahim.

Abu Bakar Chik yang turut bertanding dikatakan calon 'underdog' untuk pertandingan naib presiden ini kerana beliau agak tertinggal daripada pucuk pimpinan utama parti selepas berhenti daripada jawatan Ketua Pemuda PAS sebelum ini.

Salahudin dikatakan mendapat sokongan kedua-dua pihak, ulama dan bukan ulama serta paling popular daripada semua calon yang ada.

Tuan Ibrahim pula dilihat bakal mewarisi pucuk pimpinan utama PAS di masa depan, sudah tentu dia juga bakal menang.

Kini persaingan antara Husam dan Mahfuz. Husam dikatakan mempunyai penyokong tersendiri manakala Mahfuz pula baru membuktikan kemampuannya selepas calon PAS berjaya di pilihan raya kecil Sungai Limau.

Justeru, sudah tentu tugas sukar bagi perwakilan membuat pilihan di samping dilema yang mana calon terbaik sebagai naib presiden PAS musim ini. – Zulkifli Sulung- 9 November, 2013.

sumber :http://duniacacamarba.blogspot.com/2013/11/7-tahun-jadi-hamba-seks-abang-ipar.html

Unknown

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipisicing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua. Ut enim ad minim veniam, quis nostrud exercitation.

0 comments:

Post a Comment

 

Copyright @ 2013 antenapolitik.