Perbicaraan Tian Chua, 5 Yang Lain Kekal Secara Berasingan


alt
 
KUALA LUMPUR 23 Okt - Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang membenarkan kes perbicaraan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dan lima lain yang didakwa memberi ucapan berbaur hasutan dalam satu ceramah pada 13 Mei lalu, dibuat secara berasingan. 
 
Memetik laporan Bernama, Hakim Kamardin Hashim membuat keputusan itu selepas menolak permohonan semakan pihak pendakwaan berhubung keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Norsharidah Awang yang memutuskan kes itu dibicarakan berasingan. 
 
Kamardin berkata, hakim Mahkamah Sesyen itu telah melaksanakan kuasa bicaranya dengan betul, namun terpulang kepada budi bicaranya untuk mengarahkan sama ada kes itu dibicara berasingan atau dibicara bersama. 
 
"Selepas menyemak prosiding asal dan keputusan Mahkamah Sesyen, mahkamah mendapati Hakim Mahkamah Sesyen telah melaksanakan kuasa bicaranya dengan betul dan dengan ini mahkamah mengekalkan perintah hakim itu yang memutuskan perbicaraan dijalankan berasingan," katanya. 
 
Pada 13 September lalu, Norsharidah memutuskan perbicaraan enam aktivis propembangkang itu dibuat secara berasingan supaya tidak memprejudiskan semua tertuduh memandangkan masa dan teks ucapan setiap mereka adalah berbeza. 
 
Selain Tian Chua atau nama sebenarnya, Chua Tian Chiang, 50, turut didakwa ialah aktivis mahasiswa propembangkang Adam Adli Abd Halim, 24; aktivis Hishamuddin Md Rais, 62; anggota PAS Mohd Tamrin Abdul Ghafar, 63; peguam Haris Fathillah Mohamed Ibrahim, 54, dan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Muhammad Safwan Awang @ Talib, 24. 
 
Terdahulu, peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff yang mewakili Muhammad Safwan dan Mohd Tamrin dalam hujahnya berkata kes itu perlu dibicara berasingan kerana terdapat enam ucapan berasingan. 
 
"Walaupun pertuduhan menghasut terhadap enam tertuduh berlaku dalam satu majlis, tempat dan masa yang sama, tidak semestinya kesemua pertuduhan dibicara bersama, ini kerana ada enam ucapan berasingan oleh keenam-enam tertuduh," katanya. 
 
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi berhujah kes itu perlu dibicarakan bersama kerana ia melibatkan saksi-saksi dan rakaman video yang sama. 
 
Tian Chua, Adam Adli dan Hishamuddin diwakili peguam Michelle Yesudas. manakala Haris Fathillah diwakili Gobind Singh Deo.

Unknown

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipisicing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua. Ut enim ad minim veniam, quis nostrud exercitation.

0 comments:

Post a Comment

 

Copyright @ 2013 antenapolitik.