.
TEMERLOH 11 Feb - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diselar kerana kegagalan mendidik pemimpin pembangkang sebagai ahli politik yang dihormati masyarakat. Terbukti apabila tindakan dan sikap mereka semakin melampau sejak kebelakangan ini.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin berkata, tindakan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung klip video Tahun Baharu Cina dan Adun Machang Bubuk, Lee Khai Loon mengenai isu kangkung adalah tidak bersesuaian untuk seorang ahli politik sepenuh masa yang menerima pendapatan dari profesion mereka.
“Kita sepatutnya menggalakkan pembentukan masyarakat bertamadun yang bertindak bukan bersandarkan emosi tetapi lebih kepada pemikiran rasional, bertimbang rasa dan sensitif,” katanya
Menurutnya, jika dulu ketika bersama UMNO, Anwar galak memperjuangkan konsep masyarakat madani dan generasi al-Quran, mengapa sekarang beliau kelihatan tidak peduli atau berdaya membentuk peribadi mulia dalam kalangan pemimpin pembangkang.
Malah, Mohd Sharkar berpendapat, Anwar sebagai Ketua Pembangkang perlu menjalankan tanggungjawab dengan menasihati pemimpin pembangkang supaya tidak menyalahgunakan kebebasan yang ada.
Sebelum ini, media melaporkan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mengakui bahawa Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid tidak pernah sependapat.
"Semua orang tahu Azmin dan Abdul Khalid tidak pernah sebulu dalam mengeluarkan pandangan dari hari pertama lagi," katanya dalam forum bertajuk `Serampang Kajang' di Subang Jaya
Konflik terbuka dua pemimpin utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor makin berpanjangan apabila Mohamed Azmin Ali menyifatkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertindak melanggari undang-undang dalam isu penamatan kontrak 22 kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Holdings Sdn Bhd (PHSB).
Lebih mengeruhkan keadaan apabila Mohamed Azmin mendakwa Abdul Khalid menggunakan PKNS sebagai ‘senjata politik’ terhadap musuh politiknya.
0 comments:
Post a Comment