PUTRAJAYA 10 Feb - Sikap 'jelek' yang ditonjolkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung penerbitan klip video 'Onederful Malaysia CNY 2014' yang didakwa menghina pemimpin negara bukanlah sikap sebenar masyarakat Cina keseluruhannya.
Ketua Pemuda Parti Gerakan, Tan Keng Liang berkata, masyarakat majmuk di negara ini tidak perlu terkeliru dan memandang 'jelek' kepada masyarakat Cina keseluruhannya selepas video tersebut tersebar dan mendapat kecaman pelbagai pihak.
"Ini bukan budaya dalam perayaan masyarakat Cina, jadi jangan terkeliru seolah-olah ia menunjukkan sikap sebenar masyarakat Cina," katanya kepada RakyatNews.
Beliau berkata demikian bagi mengulas video berdurasi 11 minit 39 saat menampilkan Teresa sebagai moderator bersama tiga panelis menyindir pentadbiran negara dengan memainkan isu-isu sensitif termasuk pencerobohan pengganas Lahad Datu.
Tambahnya, DAP perlu meneliti semula agenda tersirat disebalik penerbitan video tersebut jika Teresa masih enggan memohon maaf.
"Video berkenaan tidak seharusnya dikeluarkan kerana ia menyinggung perasaan rakyat.
"Ini budaya DAP dan beliau (Teresa) perlu mohon maaf secara terbuka. Kita kemudiannya terima dan melupakan namun jika beliau masih berdegil, kita perlu nilai semula apa sebenarnya agenda DAP ini," katanya.
Video tersebut yang diterbitkan di Youtube dan disebarkan secara meluas menerusi laman sosial Facebook.
Sorotan penyiaran tersebut, Teresa dikecam pelbagai pihak mendesak beliau meminta maaf ekoran tindakannya yang melampaui batas kemanusiaan.
0 comments:
Post a Comment