KUALA LUMPUR 14 Sept - Lebih 4,000 borang pencalonan pemilihan peringkat pusat dan 100,000 borang pencalonan bagi 191 bahagian Umno di seluruh negara telah diedarkan bagi pendaftaran calon yang akan bertanding pada Pemilihan Agung UMNO bulan depan.
Setiausaha Kerja UMNO Datuk Abd Rauf Yusoh berkata, sehingga tengah hari tadi, seramai 17 orang telah mengambil dan mengisi borang pendaftaran calon Majlis Tertinggi (MT) UMNO manakala sebanyak 27 orang lagi mengisi pencalonan bagi pemilihan sayap Wanita, Puteri dan Pemuda.
"Saya ingatkan sekali lagi, borang pencalonan adalah percuma dan tidak dikenakan sebarang bayaran.
"Borang ini boleh didapati hari ini di kaunter yang dibuka di Aras 4 Menara Dato' Onn, PWTC atau pejabat bahagian masing-masing sehingga 20 Sept ini, sebelum tarikh untuk menyerahkan borang pendaftaran calon pada Sabtu depan," katanya pada sidang media di hadapan kaunter pendaftaran pencalonan di sini hari ini.
Tambah beliau, sistem pemilihan baru UMNO yang pertama kali dilaksanakan ini akan membuka peluang kepada mana-mana ahli UMNO untuk bertanding sekiranya memenuhi syarat kelayakan minima.
Syarat minima untuk bertanding di peringkat bahagian adalah dengan menjadi anggota parti selama sepenggal atau tiga tahun.
" Semua calon yang telah lengkap mengisi borang bersama jawatan yang mahu ditandingi perlu menghantar pada tarikh yang telah ditetapkan sama ada menghantar sendiri atau melalui wakil yang mempunyai surat kuasa," jelasnya.
Kesemua calon mempunyai tempoh selama seminggu untuk memikirkan jawatan yang bersesuaian sebelum menyerahkan semula borang pendaftaran calon pada 21 Sept sebelum 5 petang.
0 comments:
Post a Comment