KUALA LUMPUR 20 Sept- Strategi pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum ini tidak mengabaikan kaum lain dalam sektor ekonomi.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan yakin terhadap peranan sektor swasta dalam pembangunan dan perkembangan ekonomi di mana kaum lain terutama Cina, lebih kukuh.
"Dasar-dasar kerajaan yang menggalakkan dan meningkatkan peranan sektor swasta pastinya akan memberi manfaat khususnya kepada masyarakat Cina, " katanya dalam rakaman Sidang Kemuncak CNBC yang akan disiarkan menerusi rangkaian perniagaan itu pada pukul 5 petang esok.
Najib yang juga Menteri Kewangan,menjelaskan pemberian beberapa kontrak kepada syarikat Bumiputera adalah kerana mereka lemah dari segi keseluruhan rantaian bekalan.
"Inilah bidang (perniagaan) yang dimanfaatkan oleh komuniti perniagaan Cina, dari segi pendapatan yang tinggi memandangkan mempunyai kawalan yang lebih baik dalam keseluruhan rantaian bekalan," katanya.
Najib berkata, setakat ini ekuiti Bumiputera berjumlah kira-kira 23.4 peratus, masih di bawah sasaran 30 peratus yang disasarkan pada 2020.
"Oleh itu, adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa kekayaan kita (Bumiputera) tidak akan memberi manfaat kepada komuniti lain,"ujarnya.
Najib menyatakan jika majoriti (bumiputera) terpinggir atau merasakan tidak mendapat sebahagian kekayaan negara yang adil, ia mungkin menjejaskan kestabilan jangka panjang negara ini.
0 comments:
Post a Comment