KOTA KINABALU 19 Sept - Jamaluddin Kiram III yang mendakwa dirinya sebagai waris Kesultanan Sulu tidak ubah seperti pengganas komunis di Tanah Melayu pimpinan Chin Peng suatu ketika dahulu.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, kehadiran Kiram juga hanyalah untuk menimbulkan kucar-kacir di Malaysia dengan memperalatkan pengikut-pengikutnya.
"Pada saya mereka ini tidak ubah dengan mana-mana pengganas yang tidak menghormati undang-undang.
"Dia hanya berjuang untuk kepentingan diri sendiri," katanya kepada wartawan Rakyatnews.my dalam temubual eksklusif di sini, semalam.
Menurutnya lagi, Kiram juga tidak diiktiraf sebagai waris Kesultanan Sulu yang sah oleh kerajaan Filipina.
"Kita tidak mengiktiraf dia sebagai Sultan. Jika kita lihat sejarah mereka, ramai individu yang menuntut kesultanan Sulu ini," katanya.
Tambahnya, beliau yakin bahawa Kiram yang dikehendaki pihak berkuasa Malaysia akan dikenakan hukuman setimpal oleh kerajaan Filipina di atas kekacauan yang cuba ditimbulkan.
"Mereka (Kiram) tidak boleh dibebaskan sebegitu rupa. Tindakan undang-undang perlu dikenakan ke atas mereka," tegas Salleh Said.
Mengulas mengenai perbicaraan pengganas Sulu yang kini berada dalam tahanan polis, Salleh Said menyifatkan ianya menenjukkan amalan demokrasi yang diamalkan di Malaysia amat telus.
"Dalam undang-undang Malaysia, sungguhpun mereka didakwa namun mereka juga diberi peluang untuk dibicarakan dengan diwakili peguam.
"Ini menunjukkan negara Malaysia mengamalkan demokrasi sebenarnya dimana kita membuka seluas-luasnya ruang mempertahankan diri dlam sistem undang-undang kita," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Salleh Said turut menjelaskan hubungan antara Malaysia dan Filipina masih erat sungguhpun rakyatnya dibicarakan di Malaysia atas kesalahan berat.
"Sejak dulu lagi hubungan antara Malaysia dengan negara-negara jiran amat baik sekali. Hanya kerana beberapa peristiwa berlaku ianya tidak menjejaskan hubungan antara kita.
"Kerana perbuatan mereka (pemberontak) ini tidak didokongi oleh kerajaan mereka. Tidak berbangkit sama sekali isu hubungan Malaysia dan Filipina renggang," ujarnya.
0 comments:
Post a Comment