PETALING JAYA 29 Sept - DAP memberi amaran keras kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung kontroversi pemilihan jawatankuasa kerja pusat (CEC) yang didakwa berlaku manipulasi kertas undi melibatkan 547 perwakilan.
Pengerusi DAP Karpal Singh berkata, parti itu tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap pertubuhan berkenaan sekiranya didapati bertindak di luar batas perundangan.
"Saya beri amaran kepada ROS jika buat apa yang bertentangan dengan undang-undang, kami akan bawa ROS kepada mahkamah. Apa yang saya cakap ini jangan main-main. Ini adalah amaran yang terakhir kepada ROS.
"Saya perhatikan ROS sejak Disember tahun lalu. Jangan main-main dengan roket," katanya ketika berucap pada Kongres Khas DAP di sini, hari ini.
Menurut Karpal, DAP tidak gentar dengan usaha ROS yang didakwa cuba melemahkan parti itu khususnya berhubung masalah teknikal yang berlaku pada pemilihannya Disember lalu di Pulau Pinang.
"Kehadiran hari ini yang hampir mencecah 85 peratus membuktikan DAP sebuah parti yang kuat. Jangan main-main dengan DAP," katanya.
Pada 19 Ogos lalu, setiausaha pengelola DAP Anthony Loke mendakwa bahawa lebih 500 perwakilan DAP telah mengemukakan surat kepada ibu pejabat parti, dengan menjelaskan bahawa mereka telah menerima notis untuk mesyuarat itu tetapi tidak dapat hadir pada pemilihan CEC parti.
Menerusi Kongres Khas DAP, parti itu mengadakan pemilihan semula berikutan ROS tidak berpuas hati dengan penjelasan "masalah teknikal" yang diberikan parti itu berikutan dakwaan terdapat manipulasi kertas undi.
Sementara itu, Karpal juga menyatakan hasratnya untuk bersara sekiranya DAP berjaya membentuk kerajaan.
0 comments:
Post a Comment