MASJID TANAH, 6 Sept – “Buang masa dan tidak berfaedah. Pas dan DAP sendiri pun macam tak berminat. Apa guna kita pula nak layan”, demikian padangan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin terhadap ajakan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim untuk mengadakan dialog berhubung isu-isu negara.
Jelas beliau lagi terlalu banyak perkara penting lain yang perlu kerajaan lakukan dan beri tumpuan demi pembangunan negara dan kemakmuran rakyat daripada berdialog dengan Anwar yang sudah terkenal dengan kaki putar belit.
“Sebenarnya, Anwar mungkin merasakan populariti dirinya merudum selepas PRU-13. Sebab itu dia mula mencipta cara untuk mempopularkan dirinya semula. Namun sayangnya ajakan berdialog ini seakan dipandang sepi oleh rakan sekutunya DAP dan Pas.
“Kita lihat DAP dan Pas juga seakan tidak bersetuju dan mungkin juga sudah muak dan jemu dengan perangai Anwar. Siapa Anwar untuk mengajak Perdana Menteri berdialog. Ini semua hanya agenda politik demi kepentingan peribadi dirinya.
“Oleh itu saya berharap DAP dan Pas dapat menasihatkan Anwar agar sedar diri. Kerajaan khususnya Perdana Menteri mempunyai senarai agenda yang panjang dan jauh lebih penting untuk menjaga negara ini. Banyak yang perlu difikir dan dilaksanakan untuk kebaikan rakyat,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Anwar sebelum ini mengajak diadakan sebuah dialog terbuka yang akan berlangsung secara telus dan kondusif antara kerajaan dan pembangkang bagi membincangkan isu kebangsaan yang perlu ditangani. - MediaUMNO
0 comments:
Post a Comment