Shabery: Gelaran ‘Sasterawan Negara’ Samad Said boleh ditarik balik

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tidak menolak kemungkinan gelaran Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said (gambar) boleh ditarik balik berhubung insiden kibaran bendera Sang Saka Malaya pada malam sambutan ulang tahun kemerdekaan Jumaat lalu.
Menteri Penerangan dan Komunikasi itu berkata, tindakan sedemikian hanya boleh ditentukan oleh pihak yang memberikan gelaran tersebut.
"Tidak dinafikan ia sedikit sebanyak menjejaskan gelaran itu dan tidak mustahil jika orang tidak lagi pandang tinggi kepada Sasterawan Negara," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen 'Saya Sayang Malaysia' atau #MYSyg di Petaling Jaya, malam tadi.
Samad atau nama sebenarnya Abdul Samad bin Muhammad Said dianugerahkan Sasterawan Negara pada 1985 atas sumbangan beliau memperkaya dan memartabatkan kesusasteraan Melayu.
Dalam insiden di Dataran Merdeka itu, Samad dikatakan sedang mendeklamasikan sajak berhampiran bendera merah putih dengan 12 bintang kuning disusun tiga baris dalam empat jalur yang kemudiannya dirampas seorang lelaki.
Ahmad Shabery berkata, tindakan individu yang mengibarkan bendera berkenaan disifatkan sebagai perbuatan orang yang dahagakan perhatian dan 'perlu diberikan rawatan'.
"Mungkin mereka ini rasa orang sudah lupa dan tidak pula mempunyai isteri atau anak yang sayang (pada mereka) menyebabkan mereka terkinja-kinja mengibarkan bendera lain semasa orang lain mengibarkan Jalur Gemilang," katanya dipetik dari Bernama.
Samad ditahan polis di rumahnya di Bangsar, kira-kira jam 12.40 pagi semalam dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur untuk membantu siasatan berhubung pengibaran bendera Sang Saka Malaya.
Sasterawan Negara itu disoal siasat selama hampir dua jam selepas tiga anggota polis mengambilnya di rumah berhubung insiden pada malam ambang kemerdekaan ke-56 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Samad diwakili peguam, Latheefa Koya dan Eric Paulsen.
Sebelum ini, polis turut menahan dan menyoal siasat aktivis, Hishamuddin Rais dan Adam Adli Abdul Halim mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung insiden pengibaran Sang Saka Malaya. – 5 September, 2013.

Unknown

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipisicing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua. Ut enim ad minim veniam, quis nostrud exercitation.

0 comments:

Post a Comment

 

Copyright @ 2013 antenapolitik.